Persepsi pengaruhi kesihatan
Ramai yang bimbang pertambahan usia akan membuatkan wajah kelihatan berusia. Namun, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan bagi menjadikan wajah awet muda dan kelihatan lebih muda daripada usia. Malah doktor dan juga pakar kesihatan juga menemukan pelbagai kajian yang membuktikan perkara ini iaitu menerusi biologi dan psikologi seseorang.
Psikologi berkait rapat dengan pengalaman anda sendiri mengharungi kehidupan manakala biologi pula ditentukan dengan mengukur tekanan darah, jumlah lemak dalam tubuh, penglihatan dan pendengaran, hormon, kepadatan tulang, ketebalan kulit serta kadar kolesterol dalam darah. Selain itu, ada panduan yang boleh anda ikuti bagi menjadikan anda sihat dan cergas sepanjang masa antaranya:
1. Buang perasaan negatif anda mengenai usia
Ada pakar psikologi mengatakan sekiranya anda berfikir pertambahan usia akan menyebabkan anda menjadi tua, inilah yang benar-benar terjadi pada anda.
Becca Levy dari Universiti Yale menjalankan kajian mengenai pengaruh psikologi terhadap pertambahan usia, khususnya persepsi seseorang mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental. Kajiannya mendapati mereka yang sentiasa berfikiran negatif mengenai usia akan menyebabkan ia benar berlaku. Sebaliknya mereka yang berfikiran postitif akan sentiasa kekal cergas dan aktif.
2. Gosok gigi setiap hari
Penelitian menunjukkan ada hubung kait antara penyakit periodontitis dan kardiovaskular. Kajian menunjukkan lelaki di bawah usia 50 yang memiliki gigi kurang sihat berpeluang 2.6 kali lebih besar meninggal di usia muda dan peluang tiga kali lebih besar untuk meninggal disebabkan penyakit jantung berbanding lelaki dengan gigi yang sihat.
Penyebab utama masalah gigi adalah tidak menjaga gigi dengan baik. Amalan menggosok gigi setiap hari, menggunakan benang gigi, serta memeriksa gigi secara rutin dapat mengurangkan kemungkinan masalah gigi.
Membersihkan gigi dengan benang gigi mempunyai kaitan dengan penyumbatan pembuluh darah. Kajian menunjukkan bakteria yang ditemui pada plak gigi ialah bakteria yang sama ditemui pada timbunan lemak yang menyumbat pembuluh darah. Ini menunjukkan bakteria yang berasal dari mulut dapat memasuki pembuluh darah dan menyebabkan penyumbatan pembuluh darah.
3. Bersikap positif
Sejak 1986, penyelidik David Snowdon menjalankan kajian ke atas 678 individu untuk mengetahui sama ada daya pemikiran seseorang seiring dengan pertambahan usia. Hasil kajian menunjukkan mental yang aktif seiring pertambahan usia membantu menghilangkan rasa cemas dan dapat memanjangkan usia seseorang.
4. Bersenam
Individu yang sudah lanjut usia sudah semestinya memiliki kesihatan jantung yang baik dan sihat jika mereka bersenam berbanding individu yang muda namun tidak aktif bersenam. Dengan meningkatkan aktiviti fizikal anda mampu memutarkan kembali keadaan biologi tubuh badan anda.
5. Menangani tekanan
Penelitian menunjukkan 60 hingga 90 peratus mereka yang menemui pakar psikiatri mengalami masalah tekanan. Tekanan menyebabkan pelbagai penyakit menular bermula dari selesema sehingga kanser. Gangguan jantung, darah tinggi, penyakit kronik, gangguan seksual dan kesuburan, serta diabetes juga disebabkan tekanan. Untuk meningkatkan peluang hidup lebih lama anda harus mengurangi kemungkinan untuk sakit.
6. Meditasi
Tubuh badan mempunyai hubungan dengan pemikiran. Oleh itu mereka yang melakukan meditasi memiliki usia lima hingga 12 tahun lebih muda berbanding usia sebenar. Malah meditasi mengurangkan hormon tekanan seperti kortisol dan adrenalin.
7. Jaga kesihatan kulit anda
Kecantikan wajah datangnya daripada kulit yang cantik dan sihat. Di pasaran terdapat pelbagai krim khas untuk kulit. Krim membantu mengatasi masalah kulit berjerawat atau berjeragat. Selain itu anda juga boleh mengamalkan amalan tradisi seperti menggunakan tomato untuk membuat masker.
8. Makan makanan yang banyak mengandung antioksidan
Dr. Mehmet C Oz, penulis buku Staying Young: The Owner’s Manual for Extending Your Warranty menunjukkan antioksidan ialah makanan antipenuaan. Salah satu makanan sumber antioksidan yang paling baik ialah beri biru.
Semua makanan berwarna gelap memiliki zat antioksidan yang dapat melindungi tubuh anda. Makanan antipenuaan lain antaranya brokoli, tomato dan acai beri. Makan lima jenis makanan yang mengandung antioksidan setiap hari.
9. Makanlah banyak serat
Salah satu kunci untuk awet muda ialah menjaga kesihatan pencernaan. Untuk menjaganya anda memerlukan 25 gram serat setiap hari. Serat bekerja dengan menjaga semua nutrisi yang anda makan dalam tubuh dan melepaskan nutrisi itu. Serat didapati dalam buah-buahan, sayuran dan makanan gandum. Cuba tip berikut:
. Pilih makanan mengandung gandum ketika bersarapan.
. Ambil beras perang atau pasta yang dibuat daripada gandum.
. Makanlah oat untuk sarapan.
10. Cukup tidur
Kajian Universiti Perubatan Chicago menunjukkan tidur yang kurang di antara empat hingga lapan jam akan mempengaruhi kadar glukosa dan fungsi endokrin tubuh. Perubahan ini lebih ketara sekiranya anda mendapat diabetes. Kesimpulannya, kekurangan tidur bukan saja menyebabkan anda memiliki kurang tenaga pada waktu pagi, tetapi juga mempunyai kaitan dengan penyakit diabetes, hipertensi, obesiti dan hilang ingatan.
11. Sentiasa aktif berfikir
Sejumlah data yang berhasil selama 20 tahun terakhir dalam jangka hayat seseorang adalah untuk memastikan fungsi otak terus berkembang. Dengan cara mengembangkan neuron baru dan jaringan antara neuron memberikan jangka hayat yang lebih lama kepada seseorang.
Dr Yakov Stern dari Universiti Columbia mengatakan individu yang terus menerus merangsang kehidupannya melalui pendidikan, pekerjaan, dan kegiatan yang berhubungan dengan hobi akan mengurangkan kecenderungan menghidap Alzheimer sehingga 40 peratus.
12. Berhenti merokok
Jika anda berusia 50 tahun dan masih merokok, anda sebenarnya memendekkan jangka hayat anda selama tujuh tahun. Merokok juga membuatkan kulit menjadi semakin tua dan berkedut.
13. Sentiasa berkasih sayang
Dr Marian C Diamond, ahli anatomi saraf terkemuka di dunia melakukan kajian menggunakan tikus untuk menentukan keadaan persekitaran mempengaruhi diri seseorang. Sebuah kandang yang diisi 12 tikus dipenuhi pelbagai alat yang boleh digunakan untuk bermain. Sebaliknya, kandang yang lain tidak diisi mainan sama sekali.
Tikus yang kandangnya diisi mainan dapat menyelesaikan ujian lebih cepat dibandingkan dengan tikus dalam kandang tanpa mainan. Tikus itu juga menunjukkan kemampuan untuk memecahkan masalah dengan lebih baik.
Dr Diamond melakukan eksperimen yang sama menggunakan tikus yg lebih tua, dan dia memilih tikus berusia 600 hari, yang lebih kurang sama dengan 60 tahun usia manusia. Namun, beberapa ekor tikus meninggal menjelang usia 600 hari. Ia memutuskan untuk mencuba dan memperbaiki durasi usia tikus dengan menambahkan bahan tambahan dalam eksperimennya iaitu kasih sayang. Daripada menempatkan tikus itu dalam kandang yang sudah dibersihkan, pengkaji memelihara tikus itu dan membawanya ke rumah. Tikus itu hidup lebih lama dibandingkan dengan yang tidak dipelihara.
14. Minum banyak air kosong
Minum air kosong lapan liter sehari untuk kekal cergas sepanjang masa. Air kosong membantu pengaliran darah dengan lancar menjadikan kulit segar dan cantik serta melambatkan proses penuaan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment