Gementar tunggu hari bahagia
Menjelang hari bahagia, tentunya pelbagai perasaan muncul.
Inilah yang dialami penyanyi Hafiz Suip, 26, menjelang hari pernikahannya dengan tunang, Nureffy Jaasreel Abdullah, 23, atau Effy pada 14 Mei ini.
Hafiz berkata, dia memang gementar untuk menghadapi hari paling istimewa dalam hidupnya itu, tetapi dia juga tetap bersedia.
“Tidak sampai tiga bulan sahaja lagi untuk saya bergelar suami. Persiapan untuk majlis itu kini sudah 40 hingga 60 peratus siap. Memang saya gementar sebenarnya,” katanya.
Penyanyi lagu Bahagiamu Deritaku ini mengakui ada meminta tip daripada rakannya yang sudah berkahwin antaranya Akim Ahmad yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Stacy.
“Kalau anda hendak tahu, ketika majlis akad nikah Akim, saya yang berada di situ turut gementar. Akim sendiri ada berkongsi beberapa tip dengan saya untuk membuang rasa gemuruh.
“Katanya, banyakkan bertenang dan pasang niat di dalam hati bahawa kita ingin mendirikan rumah tangga dan itu adalah perkara yang baik,” katanya.
Satu lagi kebimbangan buat penyanyi ini ialah mengenai jemputan ke majlisnya persandingannya yang akan berlangsung pada 15 Mei ini di Kuching, Sarawak.
“Saya adakan majlis di Kuching kerana memberi keutamaan kepada keluarga. Saya juga menjemput rakan dari Semenanjung untuk bersama-sama pada hari bahagia saya. Cuma, saya bimbang kalau ada nama yang saya tertinggal,” katanya.
Mahu jadi lebih matang
Ditanya mengenai perubahan pada dirinya, Hafiz memaklumkan bahawa dia kini perlu lebih matang untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami.
“Sekarang saya hidup sebagai orang bujang dan tidak lama lagi bergelar suami. Jadi, saya perlu lebih matang, bertanggungjawab dan berdisiplin.
“Walaubagaimanapun, saya tetap menjadi diri saya, sebagaimana orang ramai mengenali saya sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Hafiz pernah memaklumkan bahawa dia akan memberikan ruang buat Effy untuk melihat dunia terlebih dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Effy sudah tamat pengajian pada Ogos tahun lalu. Dia ada memaklumkan kepada saya, bahawa dia ingin bekerja dan saya tidak menghalang. Bagi saya, dia akan ada pengalaman bekerja.
“Kalau selepas berkahwin pun, saya tidak menghalangnya untuk bekerja,” katanya.
Berbicara mengenai perkembangan terbaru karier seninya, Hafiz kini dalam proses mengumpul material untuk album terbarunya.
“Tiga single sudah siap dan kini, saya dalam proses untuk menghasilkan lebih banyak single sebagai material untuk album ketiga. Sasaran saya ialah tujuh single sebagai perlambangan tujuh tahun saya berada di dalam industri muzik.
“Untuk album ketiga ini, Insya-Allah akan ada sedikit kelainan berbanding album sebelum ini,” katanya lagi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment