'Syukur pinjaman PTPTN dilanjutkan'

'Syukur pinjaman PTPTN dilanjutkan'


Kuala Lumpur: "Alhamdulilah, syukur pinjaman PTPTN dilanjutkan kepada mahasiswa dan dengan penyediaan peruntukan itu kami sebagai penuntut boleh menumpukan perhatian kepada pelajaran semaksima yang mungkin."

Itu luahan penuntut tahun dua, Fakulti Sains Komputer, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norasifah Hassan, 21, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Pengubahsuaian Bajet 2016, hari ini.
Norasifah berkata, peruntukan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM5 bilion kepada mahasiswa di negara ini menunjukkan kerajaan mementingkan aspek pendidikan khususnya membantu meringankan beban ditanggung golongan mahasiswa.

"Golongan mahasiswa juga boleh fokus dalam usaha mendapatkan keputusan cemerlang dalam bidang akademik kerana tidak lagi perlu membahagikan masa untuk mencari pendapatan sampingan termasuk bekerja secara sambilan," katanya ketika ditemui Harian Metro.
Kakitangan swasta, Shamsurizal Abdul Rahim, 45, berkata, dia melihat peruntukan pembiayaan PTPTN sebanyak RM5 bilion kepada mahasiswa itu dilihat sebagai langkah terbaik kerajaan dalam membantu rakyat terutama golongan ibu bapa yang berpendapatan rendah dan sederhana.
"Saya sebagai bapa bersyukur dengan langkah kerajaan itu kerana ia membantu mengurangkan perbelanjaan anak yang belajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
"Perbelanjaan yang ada mungkin boleh digunakan untuk anak yang lain. Ia membantu saya mengawal perbelanjaan berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi," katanya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi yang juga Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Sidek Baba berkata, pengubahsuaian itu wajar dilakukan berikutan negara mengalami masalah ekonomi di peringkat global dan ia adalah langkah terbaik, munasabah dan realistik.
"Ia membabitkan ekonomi domestik dan masalah bajet negara. Apa pun, Perdana Menteri memberikan yang terbaik apabila masih memfokus kepentingan dan kebajikan rakyat terutama golongan kurang bernasib baik.
"Perdana Menteri turut menyentuh mengenai beberapa perkara penting termasuk berapa banyak pendapatan dan perbelanjaan negara serta bagaimana untuk menampung kekurangan perbelanjaan itu.
"Secara realistik, Perdana Menteri melakukan alternatif yang sesuai khususnya kepada perkembangan ekonomi negara serta bagaimana untuk menangani masalah berkenaan," katanya.
Katanya, dia yakin dan percaya masalah ekonomi akan dapat diatasi segera dan Malaysia perlu mencari alternatif untuk mendapatkan sumber bagi membiayai aspek pentadbiran, pembangunan dan pengurusan negara.
"Ia juga bagi memastikan tiada berlaku kekurangan dan ketidakcukupan sumber yang akan mendatangkan masalah kepada pembangunan negara pada masa akan datang," katanya.
"Perdana Menteri turut memberi fokus kepada kelompok 'unfortunate' iaitu golongan yang kurang bernasib baik yang memerlukan sokongan serta bantuan.
“Pengubahsuaian Bajet 2016 itu adalah sesuatu yang munasabah dan berkesan terutama bagi mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment